Powered By Blogger

Saturday 1 October 2011

PRINSIP - PRINSIP PENGAJARAN TATABAHASA

1.0 PENDAHULUAN

Penulisan ini adalah mengenai prinsip-prinsip yang harus dipegang oleh seorang guru dalam pengajaran khasnya pengajaran bahasa. Guru bahasa perlu mempunyai prinsip mengenai bagaimana cara bahasa itu diajarkan atau dipelajari. Dengan berpegang pada prinsip itu maka ia boleh menghasilkan sesuatu bentuk pengajaran yang baik dan berkesan.

Di samping itu juga, guru itu boleh menentukan sejauh mana prinsip - prinsip itu boleh menyelesaikan masalah - masalah yang dihadapi oleh mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Prinsip - prinsip terbentuk dari dua jenis teori yang bertentangan iaitu teori behaviorisme dan teori mentalisme. Sesuatu teori itu menentukan apakah prinsip yang harus dipegang dalam pengajaran.

Menurut Kamus Dewan (1984: 1056), prinsip ialah asas atau dasar yang menjadi pokok sesuatu pemikiran, kajian, tindakan sesuatu teori. Jadi sesuatu teori itu menentukan apakah prinsip yang harus dipegang dalam pengajaran.

Berhubung dengan prinsip - prinsip pengajaran bahasa ia adalah hasil dari dapatan teori - teori pemerolehan bahasa yang pernah disebutkan sebelum ini yang mana akan dibincangkan dari beberapa sudut. Selain itu terdapat juga prinsip - prinsip umum supaya pengajaran guru itu lebih menunjukkan keberkesanan.

2.0 PRINSIP - PRINSIP YANG BERFALSAFAH ALIRAN BEHAVIORISME

Teori behaviorisme beranggapan bahawa bahasa diperolehi melalui proses pengulangan Bahasa dikuasai melalui rangsangan dan gerak balas. Golongan ini mementingkan pengukuhan dalam pembelajaran yang dapat ditimbulkan melalui ganjaran. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa, teori ini menegaskan latihan dan latih tubi pola. Teori ini juga menekankan kemahiran lisan dalam pengajaran.

Prinsip - prinsip pengajaran bahasa dari golongan ini adalah dari pandangan dan pendapat ahli - ahli psikologi dan linguistik Aliran Behaviorisme. Golongan ini beranggapan bahawa; Pertama, bahasa yang diutamakan ialah bahasa lisan manakala bahasa tulisan merupakan bahasa kedua penting. Ahli - ahli Behaviorisme menegaskan bahawa pengajaran bahasa mestilah didahulukan bahasa lisan.

Ini kemudian diikuti dengan bahasa tulisan yang dianggap perkara penting yang kedua dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna guru - guru mestilah berusaha untuk membolehkan murid - murid bertutur dalam bahasa itu dahulu dan kemudian barulah kepada pengajaran membaca dan menulis. Ini hanya dapat dilakukan setelah murid - murid dapat menguasai sistem bahasa dan struktur bahasa.

Kedua, bahasa adalah satu tabiat. Prinsip ini sesuai diterapkan dalam proses pembelajaran kedua. Untuk membentuk kebiasaan ini latihan dan latih tubi serta perbualan bahasa juga diutamakan. Guru perlu menyusun pelajaran dengan baik dan pengajaran dimulakan daripada pola - pola yang senang kepada yang lebih susah.

Ketiga, pengukuhan adalah satu syarat penting di dalam pembelajaran disebabkan ia merupakan satu alat untuk menentukan pembentukan tingkah laku yang dikehendaki. Dalam situasi pembelajaran bahasa pengukuh-pengukuhnya adalah pujian, keistemewaan, pengiktirafan, maklum balas, galakan dan sebagainya. Mengikut prinsip ini sesuatu gerak balas yang betul perlu diteguhkan oleh guru dengan cara memberikan pengukuhan seperti yang disebutkan di atas.

Keempat, latihan pembelajaran adalah latihan yang dikukuhkan. Ia merupakan latihan pengulangan satu - satu gerak balas dengan satu - satu rangsangan. Latihan dan latih tubi hendaklah dilakukan dalam keadaan yang bermakna. Ini adalah untuk mengelakkan pelajaran tersebut dari berasa bosan.

Peneguhan boleh dilanjutkan oleh guru melalui penggunaan bahan - bahan makmal bahasa. Dalam hal ini, satu model pembelajaran telah dikemukakan oleh Behaviorisme iaitu ;

** Latihan yang dikukuhkan ---> pembelajaran ---> perubahan tingkah laku.

Kelima, model - model bahasa yang terbaik haruslah diutamakan. Dalam konteks pembelajaran bahasa di sekolah - sekolah, bahasa guru menjadi model yang diikuti oleh pelajar - pelajar. Jika model - model ini menggunakan bahasa yang sama atau mirip - mirip sama dengan bahasa matlamat, maka ini akan menguntungkan pelajar - pelajar itu.

Dan keenam, mewujudkan operasi rangsangan dan tindak balas dalam proses pembelajaran. Bahasa adalah hasil operasi rangsangan dan tindak balas. Pembelajaran bahasa akan lebih berkesan jika kedua - dua unsur ini dapat diwujudkan. Selain bertujuan menghasilkan satu pembentukan tingkah baru yang berkesan, ia juga boleh bertindak sebagai daya penggerak dan meningkatkan minat serta motivasi.

Ada beberapa cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk mempelbagaikan situasi rangsangan. Pertama adalah dengan cara mempelbagaikan tingkah laku. Kedua adalah dengan cara mempelbagaikan pengalihan saluran deria, ketiga dengan cara mempelbagaikan pola interaksi guru da murid dan keempat dengan cara mempelbagaikan pendekatan, kaedah, teknik, strategi dan alat - alat bantu mengajar.

Berdasarkan teori ini terdapat satu pendekatan yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa iaitu melalui pendekatan induktif. Pendekatan induktif ialah memulakan sesuatu pengajaran itu dengan memberikan contoh - contoh terlebih dahulu dan kemudian baharulah diterangkan. Pendekatan induktif menggunakan model: Contoh ???? Generalisasi

3.0 PRINSIP-PRINSIP YANG BERFALSAFAHKAN ALIRAN MENTALISME

Teori mentalisme menganggap pemerolehan bahasa merupakan satu proses mental. Menurut golongan ini lagi, seseorang itu mempunyai kecekapan (competence), iaitu rumus - rumus yang ada dalam stok mental, dan prestasi (performance) yang merupakan aspek penggunaan bahasa oleh penutur berdasarkan kecekapan. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, aspek pemikiran, pengetahuan dan makna diberikan penekanan.

Dalam bidang linguistik aliran kod - kognitif tidak ada mencadangkan sebarang kaedah atau prinsip pengajaran bahasa yang tertentu. Walau bagaimanapun kita boleh membuat andaian beberapa prinsip pembelajaran yang dapat diwujudkan melalui pendapat dan pandangan mereka terhaap pemerolehan bahasa. Prinsip - prinsip itu adalah seperti berikut:

Pertama, pembelajaran bahasa merupakan satu proses mental. Melalui proses ini, pembelajaran bahasa dianggap sebagai satu proses pemikiran dan pemikiran ini dilahirkan melalui pertuturan.
Kedua, semua kanak - kanak dapat mempelajari bahasa kerana mereka telah dilahirkan dengan kebolehan semula jadi untuk berbuat demikian. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa guru harus menyedari bahawa kebolehan semula jadi untuk berbahasa yang ada pada kanak - kanak itu membolehkan mereka menganalisis pertuturan yang mereka dengar. Guru perlu menggunakan pengetahuan bahasa murid - murid dalam masa merancang dan menentukan bahan - bahan pengajaran yang akan diajar nanti.

Ketiga, kadar perkembangan bahasa adalah sama bagi kanak - kanak pada peringkat kematangan yang sama dalam keadaan yang normal. Prinsip ini mempercayai bahawa kematangan yang sama di kalangan kanak - kanak akan mempunyai cirri - ciri pembelajaran bahasa yang sama. Justeru, guru hendaklah berhati - hati membuat pemilihan terhadap bahan - bahan yang hendak disampaikan.

Keempat, penyampaian makna lebih diutamakan daripada struktur bahasa dalam sesuatu huraian bahasa. Prinsip ini menekankan kebolehan untuk menggunakan struktur - struktur bahasa yang betul dari segi tatabahasa dan makna bagi membolehkan kanak - kanak itu berkomunikasi dalam masyarakat bahasa itu. Guru harus menggunakan aktiviti - aktiviti bahasa yang bermakna dan berkesan untuk membolehkan kanak - kanak menguasai struktur -struktur bahasa yang terdapat di dalam sistem bahasanya dengan baik.

Seterusnya kelima, tulisan dan bacaan adalah diutamakan dalam proses pembelajaran. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, kajian - kajian bahasa biasanya dilakukan berasaskan bahasa tulisan. Latihan - latihan tulisan yang diberi termasuklah latihan terjemahan bahan daripada bahasa sasaran ke bahasa ibunda atau sebaliknya.

Manakala keenam adalah kajian - kajian bahasa disampaikan secara deduktif dan tatabahasa disampaikan secara formal. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, kajian -kajian bahasa dihuraikan melalui pendekatan deduktif. Ini bermakna  penyampaian pelajaran itu dimulakan dengan pengajaran terus mengenai rumus  serta konsep - konsep tatabahasa dan kemudian barulah diberi contoh - contoh. Dalam hal mengajarkan tatabahasa kepada pelajar -pelajar biasanya dilakukan secara formal. Pendekatan deduktif menggunakan model: Generalisasi ??? Contoh

4.0 PRINSIP-PRINSIP YANG BERFALSAFAHKAN ALIRAN INTERAKSIONALISME

Teori ini memandang pembelajaran bahasa adalah sebagai alat interaksi dan  merupakan satu proses yang melibatkan mental dan linguistik. Teori ini menekankan peri pentingnya proses pembentukan hipotesis mengenai undang - undang bahasa dalam sesuatu pembelajaran itu. Teori ini juga menyarankan supaya guru - guru memberi banyak latihan kepada pelajar - pelajar. Prinsip - prinsip yang dicetuskan daripada pandangan ahli - ahli bahasa Interaksionalisme adalah seperti berikut:

Pertama, penyampaian makna adalah lebih diutamakan dalam komunikasi bahasa. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, sama ada pembelajaran bahasa pertama dan kedua, penyampaian makna adalah penting. Pembelajaran bahasa bukan hanya mempelajari struktur itu tetapi apa yang lebih penting ialah belajar untuk interaksi.

Kedua, pembelajaran bahasa merupakan proses mental dan linguistik. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, bahasa yang dituturkan dan makna yang dimaksudkan adalah berhubung rapat. Interaksionalis mementingkan kedua - dua unsur iaitu makna dan struktur bahasa.

Dan ketiga, pengajaran dan pembelajaran bahasa memerlukan penumpuan terhadap tugas - tugas atau aktiviti - aktiviti yang bermakna. Jika guru itu dapat menyampaikan pengajaran dalam bentuk aktiviti - aktiviti yang bermakna maka murid - murid berkemampuan untuk menggunakan bahasa itu dengan lancar dan fasih.

5.0 PRINSIP-PRINSIP YANG BERFALSAFAHKAN ALIRAN FUNGSIONALIS

Ahli-ahli bahasa yang menganut fahaman ini bukan sahaja mengkaji bahasa dari segi strukturnya malah mereka juga memberi perhatian yang serius terhadap fungsi bahasa itu. Ini bermakna mereka menegaskan bahasa sebagai alat untuk berkomunikasi . Berikut diperturunkan beberapa prinsip pengajaran bahasa daripada pandangan dan pendapat ahli - ahli Fungsionalis.

Pertama, sistem tatabahasa dan fungsi bahasa adalah dua perkara yang diutamakan. Sesuatu pengajaran itu haruslah memberi pengetahuan kepada murid - murid tentang sistem tatabahasa atau prinsp - prinsip struktur bahasa yang dipelajari itu.

Bahasa mempunyai fungsi misalnya untuk menyatakan perasaan dan mendeskripsi sesuatu objek. Dalam hal ini, bahasa yang digunakan untuk mendeskripsi sesuatu objek haruslah terdiri daripada ujaran - ujaran yang baik.

Kedua, variasi - variasi bahasa dapat mempertingkatkan tahap kemahiran berbahasa pelajar - pelajar. Bahasa boleh berkembang. Dari itu, wujudlah beberapa variasi dalam penggunaannya.
Dan ketiga, bahasa adalah alat untuk berhubung. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, murid - murid harus dapat menentukan fungsi - fungsi komunikatif pada bentuk - bentuk bahasa yang mereka kuasai.





6.0 PRINSIP - PRINSIP UMUM

Prinsip pertama adalah bahasa yang digunakan mestilah bahasa standard yang diterima oleh masyarakat dan penutur jati. Bahasa yang baik, betul dan tepat hendaklah digunakan oleh guru - guru bahasa sewaktu menyampaikan pengajaran mereka. Ia juga boleh diterima oleh masyarakat dan penutur jati bahasa itu. Bahasa itu juga mestilah standard. Selain itu, perkataan dan ayat mestilah mempunyai urutan yang baik dan tidak janggal kepada pendengar atau penutur jati bahasa itu.

Prinsip kedua adalah pengajaran bahasa haruslah berdasarkan pendekatan lisan. Pengajaran lisan penting dalam pengajaran bahasa kerana ia bersesuaian dengan proses semula jadi kanak - kanak. Mengikut Awang Mohammad Amin (Kamarudin, 2001:56) mengatakan dalam proses penguasaan pertama, seorang anak memperoleh kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur adalah daripada orang - orang yang hampir dengan kehidupannya seperti ibu bapa dan kaum keluarga atau penjaganya.

Perkara kedua penting ialah lisan. Ini adalah kerana lisan lebih senang dikuasai daripada perkara - perkara lain yang dipelajari. Selain itu, kemahiran lisan adalah punca kepada segala kemahiran yang lain. Ini bermakna kemahiran mendengar dan bertuutur adalah asas kepada kemahiran menulis dan membaca.

Prinsip ketiga adalah bahan - bahan pengajaran hendaklah dipilih, disusun, dikawal dan dipertingkatkan.

(a) Pemilihan bahan - bahan pengajaran
Pemilihan bahan - bahan pengajaran adalah proses mencari bahan - bahan yang dihasilkan iaitu yang sesuai untuk pengajaran bahasa. Pemilihan dipengaruhi oleh tujuan dan guna serta tingkat pencapaian pelajar - pelajar itu.

(b) Penyusunan bahan - bahan pengajaran
            Bahan - bahan pengajaran harus disusun supaya perkembangannya maju iaitu secara beransur - ansur dengan tertib dari peringkat awal hingga peringkat akhir. Susunan bahan -bahan pengajaran dapat mengelakkan pengajaran berlaku secara kucar - kacir.



(c) Kawalan bahan - bahan pengajaran
Ini adalah bertujuan supaya bahan - bahan pelajaran bahasa dapat disampaikan secara berseimbangan. Ini bermakna guru harus dapat mengawal masa dan bahan - bahan yang hendak disampaikan sesuai dengan satu - satu waktu mengajar yang ditentukan.

(d) Pemeringkatan bahan - bahan pengajaran
Bahan - bahan pengajaran yang hendak disampaikan itu seharusnya dirancangkan terlebih dahulu kerana dari segi latar belakang keluarga, pengalaman, kecenderungan dan kebolehan pelajar - pelajar adalah berbeza. Selain daripada pemilihan dan susunan yang dilakukan, bahan - bahan itu juga perlu diperingkatkan mengikut kesesuaian.

Prinsip keempat adalah penguasaan kemahiran bahasa haruslah mengikut susunan iaitu mendengar, bertutur, mambaca dan menulis. Mengikut prinsip ini, mendengar dan bertutur perlu diajar terlebih dahulu dan kemudian barulah membaca dan menulis. Oleh itu, sebutan guru itu hendaklah jelas dan terang yang mana ia menjadi contoh yang baik bagi murid - murid. Sebutan yang betul akan dibawa kepada bacaan yang mengikut ciri - ciri prosodinya dan seterusnya bahan bacaan ini akan dirakamkan ke dalam bentuk tulisan. Prinsip ini menekankan bahawa tiap - tiap satu kemahiran itu harus dilakukan mengikut susunan, iaitu satu kemahiran disusuli dengan kemahiran yang satu lagi.

Prinsip kelima adalah aktiviti - aktiviti pengajaran yang menarik dan bermakna hendaklah dijalankan. Aktiviti - aktiviti yang menarik dan bermakna adalah penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran sebagai menarik minat murid - murid untuk menumpukan separuh perhatian pengajaran guru itu. Jadi guru mestilah aktif dan menggunakan alat - alat bantu mengajar yang sesuai supaya murid - murid tidak berasa bosan. Manakala kesesuaian pemilihan bahan - bahan pengajaran, pengendalian yang terancang menggunakan kaedah dan teknik yang selaras, kesesuaian aktiviti serta interaksi guru dengan murid yang baik akan mewujudkan satu suasana yang baik serta menarik.

Prinsip keenam adalah mengadakan rancangan pengajaran yang kemas dan teratur. Kewajipan guru adalah menyusun rancangan pengajaran dengan baik untuk diaplikasikan dalam jangka masa setahun. Rancangan pengajaran itu mesti disusun dengan teliti dan berhati – hati..

Prinsip ketujuh adalah mengadakan suasana belajar yang baik dan berkesan. Guru harus boleh mewujudkan satu suasana yang baik. Pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan licin dan hasilnya juga akan berkesan.

Manakala prinsip yang kelapan merupakan penilaian pengajaran selepas sesi pengajaran. Seseorang guru yang dedikasi dan cekap harus dapat menilai pekerjaannya sendiri supaya dia menyedari adakah pekerjaannya itu benar-benar mengikut dasar pengajaran yang baik. Jika sekiranya terdapat beberapa kekurangan dalam pengajarannya itu maka dia harus segera memperbaikinya. Guru yang baik akan sentiasa berusaha mengatasi kekurangan -kekurangan sendiri dengan menyediakan kelengkapan - kelengkapan yang lebih bermutu.

7.0 PENUTUP

Sebagai kesmpulannya, terdapat empat prinsip pengajaran yang mengikut falsafah masing -masing. Pertama prinsip yang berfalsafahkan aliran Behaviorisme iaitu mengutamakan bahasa lisan dalam pengajaran. Manakala aliran Mentalisme menganggap pembelajaran bahasa adalah satu proses pemikiran. Aliran Interaksionalisme pula mempunyai prinsip yang mana penyampaian makna amat penting dalam sesuatu komunikasi bahasa dan seterusnya aliran Fungsionalisme menekankan sistem tatabahasa dan fungsinya adalah dua perkara yang diutamakan.

Seseorang guru itu tidak patut berpegang sama ada pada prinsip - prinsip Behaviorisme atau prinsip - prinsip Mentalisme. Ini adalah kerana cara pembelajaran seseorang pelajar dengan pelajar yang lain adalah tidak sama. Kedua - duanya boleh saja digabungkan dalam pengajaran seseorang guru itu kerana seperti yang pernah dijelaskan sebelum ini kedua - dua teori tersebut adalah saling melengkapi. Prinsip - prinsip dari golongan tersebut hanya sebagai jalan keluar bagi guru tersebut dalam menyelesaikan masalah - masalah yang dihadapi tidak kira dalam pengajarannya atau dalam pembelajaran pelajarnya. Dengan berbekalkan pengalaman yang sedia ada dari guru itu dan menerapkan prinsip - prinsip yang tersebut di atas maka pengajaran yang disampaikan akan lebih efisen dan akan lebih terjamin mutunya.

Rujukan:
Abd Aziz Abd Talib, (2000), Pedagogi Bahasa Melayu, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Ab. Rahman Ab. Rashid, Yap Kim Fatt & Ab. Rahim Selamat, (1997), Pengajian Melayu I, Petaling Jaya : Longman Malaysia Sdn. Bhd.
Kamarudin Hj. Husin, (1998), KBSM dan Model-model Pengajaran Bahasa, Selangor : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
______________, (1998), Pedagogi Bahasa, Petaling Bahasa, Petaling Jaya : Longman Malaysia Sdn. Bhd.
_____________, (2001), Pedagogi Bahasa Perkaedahan, Selangor : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment