Friday, 30 September 2011

Peranan Sebagai Seorang Guru Dalam Memartabatkan Profesion Keguruan

Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia,

            Sebagai seorang guru, memang seharusnya menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan hasrat yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercapai. Dengan itu, beberapa pekara haruslah diambil kira bagi memastikan hasrat itu benar – benar dapat direalisasikan. Di antaranya ialah pentadbiran, budaya sekolah, ko – kurikulum, guru dan prasarana. Semua aspek berkenaan merupakan penanda aras kepada pencapaian landasan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

            Butiran forum kita ini lebih menjurus ke arah tanggungjawab seorang guru untuk memastikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercapai. Guru merupakan arkitek sosial bukan sekadar memberi pendidikan dan menyampaikan ilmu malah berperanan untuk merealisasikan tranformasi pendidikan berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Guru menyediakan dan mengeluarkan bahan pelajaran bagi memperkembangkan lagi potensi individu di sesebuah sekolah.

            Selain daripada itu juga, guru haruslah berusaha untuk mempelbagaikan jenis teknik dan kaedah pengajaran serta kemahiran pengajaran. Guru boleh mempertingkatkan kemahiran profesionalisme mereka dengan mengikuti pelbagai program yang disediakan oleh pihak pengurusan profesionalime keguruan. Namun, guru juga haruslah mempunyai autonomi dalam pemilihan strategi, teknik dan kaedah yang sesuai serta sejajar dengan minat dan kebolehan pelajar dalam proses pengajaran.

            Guru juga haruslah bertanggungjawab terhadap pelajar – pelajarnya dengan mengutamakan kebajikan dan keselamatan daripada hal – hal lain. Guru juga harus menunjukkan cara berpakaian, tingkah laku serta pertuturan yang dapat dijadikan contoh terbaik kepada murid. Kerjasama yang bersepadu dan erat hendaklah diwujudkan dengan ibu bapa pelajar. Maklumat serta informasi terkini berkenaan dengan anak – anak mereka haruslah disalurkan dengan betul dan tepat demi kepentingan penelitian daripada mereka.

            Guru juga bertanggungjawab mengembangkan lagi pendidikan secara berterusan. Proses pemerolehan dan pemindahan ilmu, kemahiran dan nilai murni yang berlangsung secara berterusan amat ditekankan bermula dari kecil sehingga ke akhir hayat. Pendidikan awal akan dapat membentuk asas sahsiah yang positif. Akhir sekali, guru merupakan agen perubahan utama kepada system pendidikan di Malaysia. Respondennya adalah anak – anak yang memerlukan kemahiran, pengetahuan serta ilmu bagi membentuk pemikiran yang luas dan terbaik.

Perkembangan Pendidikan Di Malaysia

www.scribd.com/.../sejarah-perkembangan-pendid